Ayam Mandy Gaya Fatih

Mandy merupakan sajian nasi berempah dari Yaman yang dihidangkan bersama daging. Secara tradisional, ia dimasak di dalam ketuhar bawah tanah yang menggunakan arang. Kebanyakan resipi hari ini telah diadaptasi supaya sesuai dengan peredaran zaman. Ini versi Fatih, yang dihidangkan bersama ayam.

Bahan-bahan:

Paha ayam, beras basmati, bawang besar Holland, seketul arang, minyak, pewarna merah dan kuning.

Serbuk rempah: biji ketumbar, jintan putih, buah pelaga hijau, kulit kayu manis, bunga cengkih, lada hitam, serbuk kunyit, garam.

Rempah-ratus: Kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga, lada hitam, daun salam.

Cara-cara:

  1. Rebus paha ayam bersama bawang, secubit jintan putih, kulit kayu manis dan lada hitam. Rebus selama 30 minit. Sementara ayam direbus, rendam beras basmati dalam air.
  2. Selepas 30 minit, keluarkan ayam dari periuk. Simpan air rebusan ayam untuk menanak nasi.
  3. Dalam mangkuk, campurkan minyak, garam, dan sedikit pewarna merah. Serbuk rempah juga boleh dimasukkan sebagai perisa tambahan: secubit biji ketumbar, jintan putih, buah pelaga hijau, kulit kayu manis, bunga cengkih, lada hitam, serbuk kunyit. Lumur ayam dengan campuran minyak dan panggang di dalam ketuhar selama 30 minit pada suhu 190 darjah celcius.
  4. Sementara ayam dipanggang, masukkan air rebusan ayam dan beras basmati ke dalam periuk nasi. Masukkan rempah-ratus dan tanak.
  1. Apabila nasi siap ditanak, titiskan pewarna merah dan kuning ke atas nasi. Pastikan pewarna merah dan kuning dititiskan secara berjalur dan berasingan, supaya nasinya menjadi tiga warna.
  1. Panaskan seketul arang kecil sehingga menyala kemerahan. Letakkan arang yang berlapikkan besi atau kulit bawang di atas nasi, kemudian tuangkan sedikit minyak di atasnya. Cepat-cepat tutup periuk nasi supaya asap arang tidak dapat keluar. Proses ini menghasilkan semula aroma arang yang datang daripada cara tradisional memasak Mandy – di dalam ketuhar bawah tanah.
  2. Buka periuk selepas 5 minit. Gemburkan nasi untuk meratakan warna. Hidang bersama ayam.

Kongsi resepi ini